Monday, 27 March 2017

Jikalau Tersasar

Jikalau malaikat sudah mencatat amalan-amalan kebaikan kita dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, tidak perlu lagi kita disibukkan diri membuang masa mencatat amalan-amalan kebaikan kita di laman Facebook dan laman-laman sosial. Untuk menjaga hati daripada risiko berbolak balik antara riak dan ikhlas dalam beramal.

Jikalau Allah sudah mengiktiraf sumbangan, kebaikan, amalan soleh dan jasa kita, tidak perlu lagi membuang masa mempamerkannya di laman Facebook untuk meraih pengiktirafan manusia.

Jikalau sudah mengadu pada Allah, tidak perlu lagi membuang masa menulis rasa kesedihan dan kekecewaan di laman Facebook.

Jikalau kita sudah memohon keampunan dan taubat daripada Allah, tidak perlu lagi membuang masa menulis dosa-dosa lampau kita dilaman Facebook.

Jikalau kita merasakan diri sudah hebat, luangkanlah sebahagian masa untuk mengkritik kelemahan-kelemahan diri kita berbanding banyak memperlekeh orang lain.

Jikalau kita merasa tertekan (stress) dan banyaknya dosa, luangkanlah masa untuk beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amal soleh.

Jikalau kita merasa hati tidak tenang dan serabut, banyakkan bersangka baik serta menjauhkan diri dari tabiat mengumpat, hasad dengki dan bersangka buruk terhadap yang lain.

Jikalau kita mula merasai keindahan Islam dan kehebatan Allah SWT, luangkanlah sebahagian masa untuk berkongsikannya buat manfaat ramai.

*kredit kepada video-video tazkirah Dr Abdul Basit Abdurrahman atas peringatan berkaitan

No comments:

Post a Comment