DR MAZA Pentas Akhir PU : Siapakah Pendakwah ?
Jika memilih jalan untuk menjadi pendakwah selebriti, berhati-hatilah wahai diri, dunia lensa ini terlalu mengelirukan, kepadamu Tuhan kupohon kekuatan.
"Apakah sebenarnya dakwah ? Dakwah bukanlah seorang pelakon yang menghafal dialog-dialog dan kemudian diungkapkan tanpa dirinya sendiri memahaminya atau beriman dengannya.
Dakwah bukanlah penyanyi yang menghafal lirik yang menunggu sorak dan tepukan orang bawahan sedangkan dirinya sendiri tidak mampu melihat hakikat sebenar dari apa yang diungkapkannya.
Dakwah adalah kerja para Nabi. Ketika Allah membebankan dakwah ini ke pundak para anbiya, mereka menanggungnya dengan berat.
Dakwah tidak dihamparkan dengan permaidani merah, untuk menerima habuan yang lebih, untuk menjadi terkenal dan masyhur kerana dakwah. Para anbiya telah melaluinya dengan penuh keperitan.
Ramai menyangka dakwah ini suatu kesempatan sedangkan para anbiya melaluinya dengan penuh keberatan. Mereka menangis di atas jalan dakwah ini, mereka tersenyum kerananya, tidur bangun kerananya, fikir mereka kerana dakwah.
Dakwah bukanlah kerja sambilan yang dilakukan untuk mendapatkan kemasyhuran atau wang tambahan yang membolehkan mereka mengumpulkan harta dunia.
Di Akhirat kelak ada Nabi dengan seorang pengikut. Ada Nabi yang ada dua orang sahaja pengikut. Ada Nabi bersama sekumpulan pengikut. Ada Nabi yang tiada seorang pun pengikut. Demikian mereka menanggung dakwah tidak seperti yang kita andaikan.
Adakah kerja pendakwah di pentas, merebut kemasyhuran ? Ilmu ini sesungguhnya dibawa oleh orang-orang yang amanah. Kerja mereka bukanlah membuat lawak kepada orang ramai, membuatkan orang tersenyum dan bersorak sarai.
Sesungguhnya kerja mereka adalah membersihkan ilmu dari golongan-golongan pelampau dan bersemangat agama lalu menokok nambah dalam beragama lebih dari yang sepatutnya dan takwilan orang-orang yang jahil.
Para pendakwah, janganlah jadikan pentas dakwah sebagai tempat merebut populariti atau merebut kesempatan harta dunia. Dakwah adalah kerja Nabi dan kita menyambungnya dengan penuh ikhlas kerana Allah."
Dr MAZA, Pencetus Ummah (Akhir), 8 Disember 2016