Ada sesetengah pemuda berpendapat, pejuangan Islam adalah sekadar pada pakaian sahaja. Bukan hendak menidakkan sunnah berpakaian, tetapi pejuangan Islam bukan sekadar itu. Perjuangan Islam bukan diukur pada panjangnya serban, atau putihnya jubah sahaja. Bukan! atau labuh tudung yang melitup tubuh, dihiasi pula dengan purdah! Bukan! Bukan sekadar itu! Apa gunanya tampak alim, tampak lebih beragama, tetapi dari sudut fikrah, kosong! Langsung tidak diisi rencana-rencana penambahbaikan untuk ummah ini! Bila berbicara tentang ummah? Ataupun permasalahan menimpa ummah ini? Langsung tidak kisah, atau tidak ambil peduli. Adakah ini perjuangan Islam yang sebenar?
Ada sesetengah pemuda berpendapat, perjuangan Islam yang sebenar hanya cukup sekadar duduk menjadi rahib di masjid-masjid. Bukan! Perjuangan Islam juga bukan juga sekadar duduk di masjid, menjadi rahib, beribadah untuk dirinya sendiri tanpa sedikit pun berfikir untuk ummah ini. Bukan juga terlalu larut dengan permasalahan fiqh dan khilaf yang tidak kunjung redha. Label, melabel, kafir mengkafir, dalam isu furu’sedangkan, ummah sedang tenat dan menuntut kita untuk berbuat sesuatu!
Perjuangan Islam juga bukan sekadar pada politik, dan mengenepikan aspek-aspek lain seperti tarbiyah. Tanpa tarbiyah, akhlak akan jadi rosak. Perjuangan politik hanya akan menjadi alat merebut kuasa dan bukannnya sebagai satu wasilah untuk mencapai sasaran yang lebih besar iaitu membina sebuah Tamadun Islam.
Dan, perjuangan Islam bukan juga bukan sekadar pada dakwah sahaja, dan mengenepikan aspek-aspek lain dalam kehidupan, ekonomi, pendidikan, urus tadbir negara, tanggungjawab ke atas keluarga dan sebagainya. Imam Hassan Al Banna menyebut, pejuang Islam yang sebenarnya diseru untuk menjadi pemimpin dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, berkerja dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, ketenteraan, kesihatan dan juga kekayaan. Segala kepakaran mereka ini akhirnya akan disumbangkan kepada pembangunan ummah itu kerana hakikatnya mereka menyedari bahawa hakikat diri mereka itu adalah milik ummah! Tentunya, kepakaran, pangkat dan kekayaan mereka itu sangat-sangat berguna untuk ummah di hari kemudianya.
Justeru, silaplah mereka yang memahami perjuangan Islam ini dalam kerangka yang sempit. Perjuangan Islam bukanlah perjuangan yang mengongkong diri di dalam ruangan ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Perjuangan Islam adalah satu perjuangan yang menyakini bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan akhiratnya. Tidaklah bermakna, seorang pejuang itu meremehkan aspek-aspek ibadahnya. Dia tetap beribadah dan tidak culas mengerjakan ibadah fardhunya, tetapi pada masa yang sama, tidak melupakan hak ummah ini.
#CnP: Quranicgen.com
No comments:
Post a Comment